Program naturalisasi yang rancak dilakukan oleh pasukan Indonesia ketika ini menimbulkan kerisauan bekas pemain Sang Garuda, Sergio Van Dijk.
Indonesia ketika ini diperkuat dengan pemain warisan hasil daripada program naturalisasi yang diusahakan oleh Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
Usaha mengumpulkan pemain-pemain berdarah Indonesia dari serata dunia ini dilihat membuahkan hasil apabila Sang Garuda berhasil layak ke pusingan kalah mati di Piala Asia lalu.
Malah, Indonesia juga satu-satunya wakil Asia Tenggara yang kini bersaing di pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia apabila menduduki tangga ke-4 kumpulan C dengan 6 mata selepas 7 aksi.
Walau bagaimanapun, timbul kegusaran berkenaan masa depan skuad Sang Garuda ini yang diluahkan oleh bekas penyerang Indonesia, Sergio Van Dijk khusus buat pelan jangka panjang.
“Kebimbangan utama saya adalah kita melihat keputusan dan sebagainya, tetapi kita lebih banyak melihat keputusan jangka pendek. Bagi jangka panjang, saya rasa ini boleh menjadi masalah.”
“Kerana pertama sekali, pemain tempatan mungkin akan berasa tidak bersemangat pada ketika ini kerana tiada peluang untuk mereka masuk ke dalam skuad kebangsaan.”
“Tetapi juga, jika kita lihat lebih jauh lagi, masa depan Indonesia, bagaimana ia akan berfungsi?” ulas Van Dijk panjang lebar kepada The Asian Game.
Harapan Van Dijk supaya usaha memperkasa skuad utama dan pembangunan akar umbi dapat berjalan seiring demi merealisasikan impian kanak-kanak di Indonesia yang mahu menyarung jersi Garuda suatu hari nanti.
“Maksud saya, adakah ia masih menjadi impian kanak-kanak untuk menjadi pemain pasukan kebangsaan apabila terlalu ramai pemain naturalisasi bermain pada masa ini?”
“Saya rasa kita juga perlu pertimbangkan untuk memberikan usaha yang sama banyak buat skuad kebangsaan utama dan juga pembangunan belia,” ujar Van Dijk yang memiliki 5 kaps bersama Indonesia sejak debut pada tahun 2013.
Tugas besar menanti Indonesia untuk meneruskan impian ke Piala Dunia apabila bakal berdepan 3 lagi baki perlawanan di pusingan ke-3 dengan Bahrain akan menjadi lawan di Jakarta minggu hadapan.