Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengakui memerlukan masa untuk memastikan perlaksanaan sistem bantuan video pengadil (VAR) berada pada tahap memuaskan.
Aksi pembukaan Liga Super 2024/25 menyaksikan sistem VAR tidak dapat digunakan untuk dua aksi liga.
Pertama, aksi di Stadium Temerloh membabitkan Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Sabtu lepas.
Kedua, aksi membabitkan Sabah FC dan pasukan utara tanah air, Penang FC di Stadium Likas pada petang semalam.
Sistem VAR tidak dapat digunakan untuk dua perlawanan berkenaan kerana masalah teknikal pada sistem tersebut.
Keadaan ini mengakibatkan pengadil, Razlan Joffri Ali dan Zamzaidi Katimin masing-masing tidak dapat menggunakan VAR untuk perlawanan Sri Pahang-Kelantan dan Sabah-Penang.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan isu teknikal memang akan timbul apabila melaksanakan sistem VAR dalam Liga Malaysia (Liga M).
“Itu memang ada masalah teknikal. Ini memang kita sudah agak. Itu tidak berlaku semasa pra-musim tetapi semasa liga berjalan.
“Itu sudah dimaklumkan DatukStuart Ramalingam (CEO MFL) dari awal bahawa ada kemungkinan berlaku perkara-perkara dari segi teknikal. Itu yang berlaku di Temerloh dan Sabah,” katanya kepada MakanBola hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan MFL akan berusaha menyelesaikan masalah ini bagi memastikan kelancaran aksi liga selepas ini.
“Bagi saya, MFL akan cuba menyelesaikan masalah-masalah teknikal dan seumpamanya. Kecuali kalau ada masalah-masalah yang lain, kita akan maklumkan.
“Kalau kata sebelum perlawanan ada masalah, kita akan maklumkan melalui media bahawa malam ini tiada sistem VAR dalam perlawanan ini disebabkan masalah teknikal,” tambahnya.
Aksi pembukaan menyaksikan VAR digunakan dalam baki tiga perlawanan termasuk perlawanan KL City FC-Kuching City semalam.