Video Bantuan Pengadil (VAR) dilaporkan gagal berfungsi buat kali kedua kurang 24 jam di Liga Super.
Perkara ini disahkan oleh pengulas perlawanan, Wan Khairil Azwa yang bertugas bagi aksi Sabah menentang Penang di Stadium Likas.
Hal ini dimaklumkan oleh Match Commisioner mengenai status VAR yang menghadapi masalah teknikal sekaligus menyebabkan ia tidak dapat digunakan.
Kejadian ini kurang 24 jam selepas satu lagi aksi pembukaan Liga Super 2024/25 antara Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim juga berdepan situasi sama.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah bertungkus-lumus menyiapkan teknologi penting ini bagi saingan musim baharu termasuklah mengadakan perlawanan ujian VAR pada setiap venue.
MFL juga difahamkan telah membelanjakan sekitar RM5-6 Juta bagi membawa masuk teknologi VAR namun situasi luar jangkaan berlaku dalam dua aksi pertama musim ini.
Penggunaan VAR di Liga Malaysia juga telah diluluskan oleh FIFA.
“Delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR.
“Di sepanjang seminar VAR telah dijalankan selama enam hari itu, sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.
“Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025.
“Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekaligus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini,” katanya.