Vertonghen: Serangan Kami Teruk Kerana Terlampau Tua
Piala Dunia
@Football_Tweet
Advertisements

Belgium seakan masih bermimpi ngeri selepas ditewaskan Maghribi 2-0 dalam perlawanan Kumpulan F Piala Dunia 2022 semalam. Sudahlah dibolosi dua kali, jentera serangan The Red Devils juga tumpul malam itu. Dan ini mendorong bek tengah Jan Vertonghen berpandangan ketumpulan jentera serangan mereka berpunca daripada faktor penyerang yang telah berusia.

Dalam temubual pasca-perlawanan semalam, bekas bek tengah Spurs itu berkata, “Pada akhirnya, kami melepaskan dua gol sama dari situasi sepakan percuma, dua kali berdekatan dengan tiang. Bola tidak sepatutnya masuk dari kedudukan tersebut.

“Kali pertama, kami terlepas (gol Hakim Ziyech pada minit ke-45 dibatalkan kerana ofsaid), kali kedua kami dihukum. Terdapat banyak benda yang bermain dalam fikiran saya sekarang ini, benda yang tak sepatutnya disebut secara terbuka. Saya tak fikir kita cipta sebarang peluang. Macam mana semua ini boleh berlaku?

Advertisements

“Serangan kami teruk kerana kami terlampau tua, itu pasti sebabnya, kan? Kami mempunyai barisan serangan berkualiti tetapi Maghribi juga mempunyai kualiti yang sama dan mereka lebih baik hari ini. Ia sesuatu yang amat mengecewakan.”

Selepas skuad Piala Dunia 2022 Belgium diumumkan oleh pengurus Roberto Martinez, sudah ada cakap-cakap berkenaan ramai pemain berusia dalam skuad The Red Devils. Malah, ada yang berpandangan skuad ‘Generasi Emas’ ini sudah terlepas peluang menjadi juara Piala Dunia disebabkan ramai pemain berusia 30-an dalam pasukan tersebut.

Hakikat ini turut diakui pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne semasa ditemubual akhbar The Guardian sebelum perlawanan Belgium-Maghribi. Beliau berkata, “Saya fikir peluang terbaik kami ialah 2018 (Piala Dunia 2018 di Rusia). Kami ada pasukan yang baik tetapi ia semakin berusia. Kami kehilangan ramai pemain tonggak. Kami ada pemain-pemain baru yang baik tetapi mereka tidak mencapai tahap sama pemain pada 2018. Saya melihat pasukan ini sebagai pasukan bukan pilihan.”

Advertisements

Walaupun ia cuba dinafikan oleh Martinez, ia dapat dilihat dengan jelas dalam dua perlawanan Kumpulan F Belgium membabitkan Kanada dan Maghribi. The Red Devils bergelut mengatasi Kanada dan buntu menembusi gawang Munir Mohamedi dalam perlawanan semalam.

Dengan Croatia kini menduduki tangga teratas Kumpulan F dengan kelebihan jaringan, Belgium perlu menang besar dengan Vatreni jika mahu layak ke pusingan kedua. Empat tahun lepas, menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2018 dianggap satu pencapaian gemilang. Tetapi kalau melepasi cabaran peringkat kumpulan pun sudah bergelut, apatah lagi mengulangi pencapaian di Rusia.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram