Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag berharap barisan pemain muda pasukan itu belajar daripada kesilapan mereka.
Aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup antara PDRM FC dan Kedah di Selayang menyaksikan tuan rumah meraih dua gol awal menerusi Bruno Suzuki dan Ifedayo Olusegun.
Sang Kenari kemudiannya bangkit pada separuh masa kedua. Pasukan itu menyumbat tiga gol menerusi Milos Gordic, Aiman Afif Md Azizul dan Akmal Md Zahir.
PDRM memastikan mereka memiliki bekalan tiga gol untuk aksi separuh akhir kedua menerusi Eizrul Ashraf Nor Effendy. Keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun gagal meraih kemenangan, Victor cukup berbangga dengan prestasi Kedah terutama pemain-pemain muda yang beraksi dalam kesebelasan utama.
Beliau percaya pengajaran yang ditimba daripada aksi separuh akhir pertama cukup berguna bila menghadapi aksi timbal balik di Alor Setar.
“Kelemahan itu pasti ada. Kita perlu atasinya dengan barisan pemain yang ada. Yalah, (sebab pemain yang diturunkan) pemain muda,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
“Kita bagi kepercayaan kepada pemain muda yang sanggup berkorban dalam keadaan kesukaran dan latihan. Jadi, kita kena percayakan mereka. Benda ini akan berlaku tetapi kita perlu bergantung kepada mereka.”
Kedah yang belum tewas dalam enam perlawanan kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Kuching City FC pada 24 Januari.
Ini disusuli aksi timbal balik MFL Challenge Cup antara Sang Kenari dan The Cops pada 1 Februari. Pemenang bakal bertemu Selangor FC atau Penang FC di pentas final.