Hajat jaguh berbasikal trek Malaysia, Shah Firdaus Sahrom untuk memburu pingat Sukan Olimpik 2024 di pentas final acara keirin tidak kesampaian.
Shah Firdaus berjaya layak ke final acara keirin meskipun pada awalnya beraksi untuk penentuan tempat ketujuh hingga ke-12. Ini selepas panel komisar menghukum wakil Jepun, Kaiya Ota dengan penurunan kedudukan selepas perlumbaan separuh akhir acara berkenaan.
Keputusan panel komisar membuka ruang buat Shah Firdaus bersaing dengan Harrie Lavreysen (Belanda), Shinji Nakano (Jepun), Jack Carlin (Great Britain) dan dua wakil Australia, Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer.
Saingan final menyaksikan Shah Firdaus berusaha untuk berada dalam kelompok empat teratas bersama Lavreysen, Richardson dan Nakano.
Tatkala Richardson berusaha memberi tekanan kepada juara dunia dari Belanda itu untuk perebutan pingat emas, Nakano dan Shah Firdaus pula berentap untuk merebut tempat ketiga.
Dan pada selekoh terakhir pusingan keenam acara keirin, pelumba berusia 25 tahun itu bertindak menolak anak jati Muar, Johor itu. Akibatnya, ini membawa kepada kemalangan membabitkan Shah Firdaus, Nakano dan Carlin.
Video insiden berkenaan turut ditangkap lensa kamera yang disiarkan di Astro Arena. Ini membuka ruang buat Glaetzer meraih tempat ketiga dengan jaguh trek negara itu menduduki tempat keempat.
Walau bagaimanapun, panel komisar memaklumkan Shah Firdaus diturunkan kedudukan ke tempat keenam atas alasan kesalahan perlumbaan. Kontinjen Malaysia cuba membantah keputusan itu tetapi panel komisar tetap bertegas dengan keputusan mereka.
Keadaan ini menyaksikan Shah Firdaus menamatkan kempen keirin Olimpik 2024 di tempat keenam. Lavreysen muncul pemenang pingat emas dengan Richardson dan Glaetzer masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.