Pasukan Vietnam berada dalam momentum terbaik sebelum turun ke Piala Mitsubishi Electric ASEAN apabila meraih tiga kemenangan ke atas kelab dari Korea Selatan.
Skuad kendalian Kim Sang-sik terbang ke Korea Selatan sebagai salah satu persiapan bagi mengharungi aksi Piala Mitsubishi Electric ASEAN yang bakal bermula Disember ini.
Selain mengadakan kem latihan, Vietnam turut mengatur tiga perlawanan persahabatan di sana melibatkan tiga kelab iaitu Ulsan Citizen, Jeonbuk Hyundai dan Daegu FC.
Pada aksi pertama, Vietnam turun bertemu wakil K2-League, Ulsan Citizen yang menyaksikan Golden Star Warriors meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan Nguyen Tien Linh dan Pham Tuan Hai.
Dua hari kemudian, Daegu menjadi lawan Vietnam dan sekali lagi anak didik Kim Sang-sik mencatatkan kemenangan 2-0 menerusi gol daripada Nguyen Quang Hai serta Nguyen Hai Long.
Momentum tersebut berjaya dibawa ke aksi terakhir apabila Vietnam tampil cemerlang menumpaskan Jeonbuk Hyundai dengan keputusan 3-1 untuk menutup kem latihan di Korea dengan jayanya.
Pasukan yang dikenali sebagai The Golden Star Warriors ini bakal kembali pulang ke Vietnam pada 3 Disember sebelum terbang ke Laos bagi aksi pertama minggu hadapan.
Perlawanan pembukaan Vietnam di Piala ASEAN Mitsubishi Electric adalah bertemu Laos pada 9 Disember hadapan di Stadium Nasional Laos dengan sepak mula jam 9 malam.