Vietnam mengatur persiapan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan membawa masuk dua penjaga gol warisan Eropah, Dang Van Lam dan Filip Nguyen.
Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada 27 pemain yang dipanggil jurulatih baru Golden Star Warriors, Kim Sang-sik untuk perlawanan menentang Filipina dan Iraq.
Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Vietnam siapa yang bakal menjadi pilihan utama jurulatih Korea Selatan itu sebagai penjaga gol utama.
Sebelum ini, peranan tersebut digalas oleh Nguyen semasa kempen Piala Asia 2023 dan dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Indonesia pada Mac lalu.
Dalam tempoh lima perlawanan, penjaga gol Cong An Ha Noi (CAHN) berdarah Czech-Vietnam itu telah dibolosi sebanyak 10 kali dan tiada rekod tanpa bolos. Kesemua lima perlawanan itu juga berakhir dengan kekalahan.
Disebabkan rekod buruk tersebut, khidmat jurulatih Vietnam sebelumnya, Philippe Troussier turut ditamatkan oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).
Tempoh sama turut menyaksikan Van Lam tidak dapat dipanggil memperkuat skuad Vietnam. Ini kerana pada ketika itu, beliau masih belum pulih daripada masalah kecederaan.
Dengan Van Lam kini cergas semula, kedudukan Nguyen sebagai penjaga gol utama Golden Star Warriors terancam. Ini kerana penjaga gol kelahiran Rusia itu merupakan antara tonggak utama pasukan semasa era jurulatih Park Hang-seo.
Malah, semasa era inilah, Van Lam mencipta nama sebagai antara penjaga gol terbaik Vietnam pada ketika itu. Beliau membantu Golden Star Warriors muncul juara ASEAN Championship 2018 dan mara ke suku akhir Piala Asia 2019.
Selepas menerima tawaran sebagai jurulatih Vietnam pada bulan lepas, Sang-sik berharap dapat membuka eranya dengan kemenangan.
Vietnam bakal turun menentang Filipina di Stadium Nasional My Dinh pada 6 Jun. Ini disusuli perlawanan menentang Iraq di Basra pada 11 Jun.