Skuad senior Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah bimbingan Philippe Troussier dengan menewaskan Palestin 2-0 di Stadium Thien Truong hari ini.
Selepas menundukkan Syria dan Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Jun lalu, kini Palestin pula menjadi sasaran.
Dari segi ranking, kedua-dua pasukan dipisahkan satu tangga dengan Vietnam di tangga ke-95 dan Palestin (ke-96). Begitupun, Lions of Canaan memiliki beberapa pemain yang beraksi di liga luar seperti Tamer Seyam (PT Prachuap) dan Mohammed Bassim Rashid (Bali United).
Babak pertama menyaksikan Palestin lebih banyak menguasai bola. Begitupun, disiplin yang ditampilkan anak-anak buah Troussier memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Babak kedua menyaksikan Vietnam mula memperkemas rentak permainan mereka. Dan hasilnya, penyerang Yokohama FC, Nguyen Cong Phuong meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-61.
Vietnam terus menceriakan penyokong mereka menerusi gol Pham Tuan Hai pada minit ke-79. Tuan Hai tenang menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Rami Hamadeh.
Keputusan ini bakal beri keyakinan kepada Troussier untuk mendepani tiga aksi persahabatan seterusnya pada Oktober ini. Vietnam bakal berdepan China pada 10 Oktober sebelum menentang Uzbekistan tiga hari selepas itu.
Kedua-dua perlawanan itu akan diadakan di Xi’an, China. Setelah itu, Golden Star Warriors bakal berdepan pasukan gergasi Asia, Korea Selatan di Jeonju, Korea Selatan pada 17 Oktober.