Hasrat Vietnam untuk melakar kemenangan pertama dalam kalendar FIFA kali ini tidak kesampaian apabila dimalukan Thailand di laman sendiri.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tien Linh menjadi sandaran Vietnam manakala Ekanit Panya dan Suphanat Mueanta pula dipertaruhkan pasukan Thailand dalam mengasak kubu Vietnam.
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai perlawanan melalui variasi hantaran pendek yang tepat.
Tiada percubaan merbahaya dapat dihasilkan kedua-dua pasukan untuk 20 minit pertama perlawanan selepas kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati dalam mencipta gerakan.
Vietnam akhirnya berjaya dihadapan pada minit ke-20 permainan melalui penyudah Nguyen Tien Linh selepas pemain itu menyambar sepakan percuma pantas yang diambil oleh Que Ngoc Hai dari bawah. Vietnam mendahului Thailand 1-0.
Kegembiraan Vietnam itu hanya bertahan lima minit sahaja selepas Suphanat Mueanta menjaringkan gol penyamaan hasil tandukan jarak dekat yang mengelirukan penjaga gol Vietnam, Filip Nguyen.
Jaringan tersebut seolah memberi semangat buat Thailand dalam mencari lagi jaringan bagi memberikan tekanan buat tuan rumah.
Hasil serangan bertali arus, Thailand akhirnya berjaya dihadapan buat pertama kali dalam perlawanan ini pada minit ke-40 hasil ledakan penyerang warisan Thailand-Sweden, Patrik Gustavsson. Thailand di hadapan 2-1.
Vietnam menggandakan asakan bagi mencari jaringan penyamaan. Quang Hai hampir sahaja menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama namun rembatan kaki kirinya diselamatkan penjaga gol Thailand.
Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Vietnam tampil lebih bertenaga dan dilihat menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran tepat.
Phan Van Duc turut berpeluang meledak jaringan buat Vietnam pada minit ke-53 namun percubaannya dalam kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai.
Thailand lebih fokus bertahan pada separuh masa kedua memandangkan Vietnam mengasak dengan lebih merbahaya.
Tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan buat Thailand yang menewaskan Vietnam dengan keputusan 2-1.
Ini merupakan kekalahan kedua Vietnam dalam tempoh enam hari selepas sebelum ini mereka terpaksa tunduk dengan kehebatan Russia pada 5 September yang lalu yang mana menyaksikan Vietnam tewas 0-3.