Vietnam menutup kempen persiapan pasukan itu menghadapi ASEAN Hyundai Cup di Korea Selatan dengan tiga kemenangan berturut-turut.
Ini selepas anak buah Kim Sang-sik menewaskan wakil Korea Selatan dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Gangwon FC.
Selepas meraih dua kemenangan dalam dua aksi persahabatan sebelumnya, Pahlawan Bintang Emas ingin menutup kem di Vietnam dengan kemenangan bergaya.
Meskipun begitu, Gangwon terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti. Ini selepas pemain Vietnam dikesan mengasari pemain Gangwon dalam kotak penalti.
Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son menyamakan kedudukan 16 minit selepas itu. Beliau menyudahkan hantaran Nguyen Tai Loc menerusi tandukan deras ke arah gawang Gangwon.
Pham Gia Hung memastikan Vietnam menutup cerita di Korea Selatan dengan kemenangan menerusi gol pada babak kedua. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, Vietnam akan bertemu negara serantau, Myanmar dalam satu lagi aksi persahabatan pada 15 Julai ini. Ini juga aksi pertama pasukan itu di bawah bimbingan jurulatih Norway, Jorn Andersen.