Vietnam Ikut Langkah Malaysia, Tagih Sentuhan Pengendali Korea Selatan
Asia Tenggara
AFC
Advertisements

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bakal mengikut jejak Malaysia dengan mencari jurulatih Korea Selatan untuk mengisi jawatan jurulatih skuad senior Vietnam.

ASEAN Football melaporkan VFF sedang mengadakan perbincangan dengan bekas jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Sang-sik.

Rundingan antara kedua-dua pihak dilaporkan berjalan lancar dan berada di fasa akhir. Sekiranya VFF dan Sang-sik mampu mencapai persetujuan, jurulatih berusia 47 tahun itu bakal membimbing Vietnam dengan kontrak dua tahun.

Advertisements

Beliau berpotensi menjadi jurulatih kedua dari Korea Selatan yang diberi amanah mengendalikan skuad senior Pahlawan Bintang Emas selepas Park Hang-seo.

Semasa bergelar jurulatih dari 2018 hingga awal tahun 2023, Hang-seo membimbing Vietnam juara Piala AFF edisi 2018 dan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Advertisements

Jawatan jurulatih skuad senior Vietnam kosong selepas VFF memutuskan untuk memecat jurulatih Perancis, Philippe Troussier pada penghujung Mac lalu.

Pemecatan bekas jurulatih Jepun itu dibuat selepas pencapaian kurang memberangsangkan Vietnam dalam Piala Asia 2023 dan kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Advertisements

Sejak itu, kerusi panas berkenaan dikaitkan dengan ramai jurulatih seperti Mano Polking, Roberto Donadoni, Kiatisuk Senamuang, Kim Do-hoon dan Sang-sik.

Malah, pada satu ketika, nama Hang-seo turut dikaitkan dengan jawatan berkenaan. Walau bagaimanapun, beliau kini sibuk dengan peranannya sebagai penasihat kelab Bac Ninh.

Advertisements

Sang-sik dikenali selepas membimbing Jeonbuk Hyundai Motors bergelar juara K-League 1 musim 2021 dan juara Korean FA Cup musim 2022.

Prestasi kurang memberangsangkan Jeonbuk pada musim 2023 menyebabkan pasukan itu melepaskan khidmat beliau dan membawa masuk Dan Petrescu sebagai pengganti.

Vietnam berharap jawatan jurulatih skuad senior negara itu dapat diisi sebelum dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jun ini.

Pahlawan Bintang Emas bakal berdepan negara serantau, Filipina untuk aksi kelima Kumpulan F pada 6 Jun. Ini disusuli perlawanan terakhir kumpulan menentang Iraq di Basra pada 11 Jun.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram