Advertisements
Terkini: Jurulatih Vietnam Dipecat Selepas Dimalukan Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
VFF

Jurulatih Vietnam, Philippe Troussier sah dipecat daripada jawatannya setelah mengalami kekalahan memalukan di tangan Indonesia di laman sendiri dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.

Berita ini dikongsikan oleh Asean Football menerusi satu hantaran di laman Instagram yang mengesahkan kontrak jurulatih kelahiran Perancis itu ditamatkan serta-merta selepas perlawanan.

“Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) menamatkan kontrak dengan jurulatih Philippe Troussier sejurus selepas kekalahan menentang Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 pada petang 26 Mac,” tulis Asean Football di Instagram.

Pengumuman rasmi turut dibuat menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik oleh Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di laman Facebook rasmi persatuan tersebut.

Beliau yang dilantik menggantikan Park Hang-seo tahun lalu mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan sepanjang menjadi jurulatih The Golden Star setelah hanya mencatatkan empat kemenangan dan 10 kekalahan dalam 14 perlawanan.

Pencapaian terbaik Troussier selama satu tahun membimbing pasukan Vietnam adalah membawa pasukan bawah 23 tahun memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja pada tahun 2023.

Terdahulu, Vietnam terpaksa akur dimalukan di laman sendiri setelah tumbang 0-3 kepada Indonesia hasil jaringan daripada Jay Idzes, Ragnar Oratmangoen dan Ramadhan Sananta.