Advertisements
Indonesia ‘Hentam’ Vietnam Tanpa Belas Kasihan
Asia Tenggara
MakanBola
Timnas Indonesia

Meskipun beraksi di tempat lawan, itu bukan halangan buat Indonesia meraih kemenangan kedua ke atas Vietnam dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026.

Selepas diaibkan 1-0 di Gelora Bung Karno pada 21 Mac lepas, Vietnam yang dibimbing Philippe Troussier berharap dapat merekodkan kemenangan di Stadium Nasional My Dinh.

Sementara Tim Garuda pula mahu meneruskan rentak positif ke atas negara serantau itu walaupun dibelenggu masalah kecederaan beberapa tonggak.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah bermula dengan garang bagi mendapatkan gol awal.

Malangnya, gawang Pahlawan Bintang Emas yang dikawal Filip Nguyen bocor seawal minit kesembilan menerusi bek tengah, Jay Idzes.

Idzes yang meranapkan impian Vietnam di Gelora Bung Karno menceriakan penyokong pelawat dengan menyudahkan hantaran Thom Haye.

Indonesia semakin selesa di hadapan menerusi seorang lagi pemain warisan mereka, Ragnar Oratmangoen pada minit ke-23.

Ini saat manis buat Ragnar kerana ini gol pertamanya dalam penampilan pertamanya sebagai pemain Tim Garuda.

Perlawanan kemudiannya menjadi panas gara-gara terjahan keras bek kanan Port FC, Asnawi Mangkualam ke atas pemain Vietnam pada minit ke-33.

Ini mengakibatkan pemain kedua-dua pasukan bertelagah sebelum ditenangkan pengadil, Alireza Faghani. Faghani kemudiannya melayangkan kad kuning kepada Asnawi dan bek tengah Vietnam, Bui Hoang Viet Anh.

Pahlawan Bintang Emas cuba bangkit mencari gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Tim Garuda memasukkan Yakob Sayuri menggantikan Asnawi untuk mengurangkan risiko mengutip kad kuning kedua.

Tuan rumah terus meningkatkan tekanan untuk merapatkan jurang gol. Malangnya, setiap serangan yang cuba diatur digagalkan barisan pertahanan pelawat diketuai Idzes.

Sebaliknya, Indonesia hampir menambah jaringan menerusi Ragnar pada minit ke-79 tetapi sepakannya tersasar.

Pelawat akhirnya mendapat gol ketiga menerusi pemain gantian, Ramadhan Sananta pada minit ke-98. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Tim Garuda menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan tujuh mata selepas empat perlawanan. Manakala Vietnam di tangga ketiga dengan empat mata.