Tiga kekalahan dalam saingan Piala Asia 2023 menyebabkan ranking bola sepak Vietnam jatuh mendadak.
Kekalahan 4-2 kepada Jepun, 1-0 kepada Indonesia serta 3-2 kepada Iraq menyaksikan pasukan kendalian Phillipe Troussier kehilangan 41.06 mata dan kini Vietnam berada ditangga ke-106 dunia dengan mengumpul 1194.52 mata.
Sebelum bermulanya kejohanan Piala Asia, Vietnam merupakan pasukan nombor satu Asia Tenggara dan berada di kedudukan ke-94 dunia.
Namun kedudukan tersebut dipintas Thailand ekoran prestasi cemerlang pasukan Gajah Perang yang layak ke pusingan kalah mati setelah meraih 1 kemenangan dan 2 keputusan seri dalam saingan kumpulan Piala Asia.
Thailand kini naik 12 anak tangga dan berada di kedudukan ke-101 dunia setelah meraih 29.92 mata. Kini Thailand merampas gelaran nombor satu Asia Tenggara dari pasukan Vietnam dan berpeluang untuk meraih lebih banyak mata jika mereka berjaya menewaskan Uzbekistan.
Ini adalah kali pertama Vietnam terkeluar daripada kelompok kedudukan 100 teratas sejak tahun 2022 sewaktu pasukan itu tewas kepada Australia namun jurulatih Park Hang-seo membawa Vietnam kembali naik setelah menewaskan China dalam masa yang singkat.
Vietnam tidak akan dapat memperbaiki kedudukan pasukan setelah jatuh 12 anak tangga sehinggalah tiba bulan Mac bagi aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menurut Vietnam Express.
Kedudukan Vietnam juga mungkin akan berubah berdasarkan keputusan semasa pasukan lain yang masih bertanding di Piala Asia dan juga Piala Negara-Negara Afrika ketika ini.