Sebagai persiapan menjelang Piala Asia 2023, Vietnam mahu mengatur aksi persahabatan pra-kejohanan dengan juara Pestabola Merdeka 2023, Tajikistan.
ASEAN Football melaporkan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) sedang berunding dengan Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk merealisasikan perlawanan tersebut.
Sekiranya rundingan berjalan lancar, kedua-dua pasukan bakal bertemu untuk aksi persahabatan pra-kejohanan.
Tajikistan yang segar daripada kejayaan mengalahkan Malaysia dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 pasti akan memandang serius komen jurulatih Uzbekistan, Srecko Katanec.
Jurulatih Croatia itu menyifatkan corak permainan pasukan Vietnam sama dengan satu lagi pasukan Asia Timur, China.
“Saya fikir dua perlawanan menentang Vietnam dan China kelihatan sama. Kedua-dua pasukan memiliki corak permainan sama, jadi mereka tidak memberi banyak masalah kepada kami,” katanya selepas perlawanan menentang China seperti dipetik TheThao247 baru-baru ini.
Dengan Tajikistan berdepan China, Qatar dan Lubnan dalam Kumpulan A pada Januari ini, sebarang persiapan pasti dialu-alukan oleh jurulatih Petar Segrt.
Bagi jurulatih Vietnam, Philippe Troussier pula, aksi ini jika direalisasikan bukan sekadar aksi pemanas badan sebelum kejohanan.
Malah, ini akan menjadikan mereka lebih tahan lasak bila berdepan dua pasukan handalan Asia dalam Kumpulan D, Iraq dan Jepun. Indonesia melengkapkan senarai pasukan dalam kumpulan itu.