Vietnam Menang Lagi Di Korea, Xuan Son Ledak Gol Cantik
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam meneruskan momentum positif dalam siri jelajah Korea Selatan apabila berjaya menewaskan Yongin FC 2-1 dalam aksi persahabatan kedua di Incheon.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam yang dibimbing oleh Kim Sang Sik mencatat dua kemenangan berturut-turut setelah sebelum ini tampil bergaya membelasah Siheung FC 6-0 pada aksi pertama.

Menghadapi Yongin FC yang beraksi dalam saingan K.League 2, Vietnam berdepan ujian lebih mencabar apabila lawan tampil dengan kualiti lebih tinggi terutama di bahagian serangan.

Namun, Vietnam tetap berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-9 menerusi Nguyen Hai Long yang tenang menyudahkan peluang dalam kotak penalti.

Yongin FC kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-42 sebelum kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan dengan keputusan 1-1.

Memasuki babak kedua, Kim Sang Sik terus melakukan rombakan besar dengan menukar keseluruhan kesebelasan bagi menguji lebih banyak kombinasi pemain.

Vietnam akhirnya kembali di hadapan pada minit ke-75 apabila penyerang naturalisasi mereka, Nguyen Xuan Son meledak gol kemenangan menerusi tandukan cantik untuk memastikan kemenangan 2-1.

Ini merupakan penampilan penting buat Xuan Son yang terus membuktikan ketajamannya selepas kembali menjadi sebahagian daripada perancangan skuad kebangsaan Vietnam.

Bagi Kim Sang Sik, aksi menentang Yongin FC memberi peluang untuk menilai kemampuan pemain serta menguji beberapa variasi taktikal menjelang saingan ASEAN Hyundai Cup 2026.

Vietnam kini akan meneruskan latihan di Incheon sebelum berdepan satu lagi ujian menentang wakil K.League 1, Gangwon FC pada 13 Julai.