Vietnam menerima suntikan motivasi menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia apabila menumbangkan Kemboja dalam aksi persahabatan pada Rabu.
Kedua-dua pasukan turun dalam aksi pertama bagi tahun 2025 dengan Vietnam menjadikan pertemuan ini sebagai salah satu persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia.
Nguyen Quang Hai serta Do Duy Manh antara nama besar yang diturunkan oleh pengendali Vietnam, Kim Sang-sik manakala barisan pemain Kemboja diketuai oleh Faeez Khan.
Jaringan pertama terhasil pada minit ke-26 apabila sepakan percuma Nguyen Hai Long berjaya menewaskan penjaga gol Kemboja, Keo Soksela bagi meletakkan Vietnam di hadapan.
Tuan rumah terus menggandakan kelebihan dengan gol ke-2 pada minit ke-35 menerusi pemain gantian, Nguyen Van Vi yang melepaskan rembatan di dalam kotak penalti Kemboja.
Separuh masa pertama tamat, Vietnam 2-0 Kemboja.
Kembali dari rehat, pasukan pelawat kendalian Koji Gyotoku berusaha mengasak dan berjaya menjaringkan gol pertama di minit ke-63 menerusi percubaan jarak jauh Samuel Bong.
Asakan bertali arus cuba diusahakan oleh Vietnam dan juga Kemboja bagi menambah jaringan namun segala percubaan tampak tidak menepati sasaran sehingga tamat 93 minit aksi.
Aksi di Stadium Binh Duong berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Vietnam.
Kemenangan ini pastinya menaikkan moral Vietnam sebelum menentang Laos dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia tatkala Kemboja akan berdepan Aruba bagi satu lagi aksi persahabatan