Vietnam Pantau 100 Pemain Warisan Tapi Berdepan Syarat Ketat
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam dilaporkan memiliki senarai 100 pemain warisan yang bermain di luar negara.

SEAsia Goal melaporkan senarai tersebut telah dilepaskan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) susulan kekalahan 4-0 pasukan itu di tangan Harimau Malaya pada 10 Jun lalu.

Sesetengah pemain dilaporkan bukan saja berstatus pemain Bawah 20 Tahun (B-20). Malah, ada juga yang beraksi di liga utama Eropah.

Antara nama yang berada dalam senarai tersebut ialah pemain tengah Burnley, Brandon Ly. Ly yang memiliki darah Ireland-Vietnam sudah menyatakan minat mewakili Pahlawan Bintang Emas pada masa hadapan.

Meskipun begitu, Vietnam dijangka berdepan kesukaran merekrut pemain warisan untuk mewakili pasukan itu di peringkat antarabangsa.

Ini kerana mereka perlu melepasi syarat ketat yang ditetapkan kerajaan Vietnam sebelum berpeluang mewakili pasukan itu.

Antara syaratnya ialah mereka perlu beraksi dalam saingan V. League terlebih dahulu sebelum menukar kerakyatan.

Situasi ini yang dilalui dua pemain warisan Vietnam, Filip Nguyen dan Jason Pendant Quang Vinh sebelum meraih penampilan di peringkat antarabangsa.

Ini juga menjelaskan mengapa Pahlawan Bintang Emas hanya dapat memanggil lima pemain warisan di peringkat antarabangsa setakat ini.

Selain Nguyen dan Quang Vinh, Đang Van Lam, Adriano Schmidt dan Michal Nguyen juga pernah dipanggil mewakili Vietnam di pentas antarabangsa.