Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) baru-baru ini telah menolak hajat bekas pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo yang kini menjadi penasihat buat kelab Liga Divisyen 3 Vietnam, Bac Ninh FC.
Bac Ninh ialah salah satu pasukan daripada empat pasukan yang bakal menyertai pusingan akhir Divisyen Kedua Vietnam 2024 selepas menjadi pasukan teratas dalam Kumpulan A di pusingan kelayakan dengan mengumpul 31 mata selepas 12 perlawanan.
Bac Ninh melalui Park Hang-seo sebagai penasihat kanan secara tiba-tiba menghantar petisyen kepada Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dan jawatankuasa penganjur Divisyen Kedua Kebangsaan 2024, mencadangkan perubahan format pertandingan akhir.
Permintaan Bac Ninh dan Park Hang-seo adalah untuk mengadakan perlawanan play-off promosi ini secara timbal balik dengan tujuan agar penyokong-penyokong berpeluang menonton secara langsung dan memberi sokongan kepada pasukan tuan rumah.
Menerusi laporan dari TheThao247, VFF dikatakan telah menolak petisyen yang diusulkan oleh Bac Ninh. Ianya sekali gus memaksa semua perlawanan akan kekal dengan format asal iaitu diadakan di gelanggang berkecuali.
Jika kedudukan terikat, tiada format tambahan masa dan keputusan perlawanan akan ditentukan oleh sepakan penalti. Pemenang akan layak ke liga divisyen kedua Vietnam.
Untuk rekod, Park Hang-seo yang meninggalkan kerusi jurulatih skuad kebangsaan Vietnam pada Januari 2023 telah dilantik sebagai penasihat Bac Ninh pada Februari yang lalu.