Tatkala kemenangan besar Malaysia ke atas Papua New Guinea jadi tumpuan, persembahan individu yang ditampilkan oleh pemain Malaysia-Finland, Nooa Laine terus menjadi bualan.
Pemain berusia 21 tahun itu diterbangkan jauh dari kelabnya, SK Akatemia untuk membawa cabaran negara sungguhpun terlepas aksi pertama berdepan Kepulauan Solomon.
Beliau yang mengisi posisi Syamer Kutty selaku pemain tengah bertahan telah memberikan satu aksi yang cukup bertenaga dan luar biasa.
Nooa sememangnya memiliki kualiti untuk beraksi sama ada pada posisi tengah bertahan, tengah dan juga tengah menyerang.
Sungguhpun tugasnya lebih banyak membantu bahagian pertahanan, beliau masih memberikan aksi terbaik dengan menjadi watak penting untuk menutup ruang bagi serangan Papua New Guinea.
Kelibat beliau bagaimanapun menjadi perhatian apabila hantaran jauhnya telah membuatkan barisan pertahanan terpinga-pinga.
Lorongan tepat itu membuatkan pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi dalam keadaan yang tidak dikawal muda menolak masuk untuk gol ketiga Malaysia.
Khidmat Nooa kini mula mendapat tempat dalam percaturan Pan-gon selepas beliau dipanggil untuk memperkuat pasukan negara bermula Mac lalu.
Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan 10-0 untuk memungut 4.20 mata FIFA dan melonjak ke tangga ke-136 dunia.