Juara J1 League musim 2023, Vissel Kobe membuat keputusan mengejut dengan melepaskan bekas pemain Manchester United, Juan Mata.
Keputusan ini disampaikan kelab berkenaan menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Sebelum ini, Mata menyertai Kobe sebagai ejen bebas pada September lalu selepas meninggalkan kelab gergasi Turki, Galatasaray pada akhir musim 2022-2023.
“Kami dengan gembira mengumumkan Juan Mata bakal meninggalkan kelab selepas kontrak beliau tamat,” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas.
Bekas pemain sayap Sepanyol itu mengakui walaupun tempohnya bersama Ushi tidak lama, beliau tidak akan melupakan memori bersama pasukan itu buat selama-lamanya.
“Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan pada saatu kelab memenangi liga (J1 League) buat kali pertama. Saya tidak akan lupakan memori yang kita habiskan bersama,” ujarnya.
Mata hanya merekodkan satu penampilan bersama Kobe untuk musim 2023. Penampilan tersebut dibuat sebagai pemain gantian bila menentang kelab Sanfreece Hiroshima pada 16 September lalu.
Meskipun hanya sebentar, Mata menjadi saksi kejayaan Kobe menjulang J1 League pada hari terakhir musim pada akhir November lalu.
Ramai penyokong Kobe merasa sedih melihat Mata meninggalkan pasukan. Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna X bernama @yataoda4.
Dia memuji kesungguhan bekas pemain Chelsea itu memberi sokongan kepada Ushi meskipun beliau sekadar memanaskan bangku simpanan atau tidak berada dalam pasukan.
Lantas, @yataoda4 berharap Mata tidak melupakan Ushi dan mengucapkan selamat berjaya kepada beliau untuk apa saja perancangannya selepas ini.
“Kami tahu beliau memberi inspirasi dan memberi sokongan bertenaga kepada pasukannya walaupun tidak mendapat peluang untuk bermain!
“Kami mahu berterima kasih kepada anda kerana memilih Vissel Kobe. Sila kembali ke Kobe pada bila-bila masa! Kami berharap Mata dapat memainkan peranan aktif dalam kelab barunya,” katanya di X.
Mengikut data Transfermarkt, bekas pemain sayap United itu telah merekodkan 651 penampilan, 142 gol dan 158 bantuan gol.
Sehingga artikel ini ditulis, Mata tidak menyatakan apa perancangan terbarunya selepas meninggalkan kelab Jepun itu.