Wajah pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon suram selepas anak buahnya tunduk di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan tuan rumah beraksi dengan begitu baik sebelum menundukkan jaguh Korea itu dengan keputusan 3-0.
Kemenangan kedua JDT di ACLE membantu JDT untuk melonjak pada kedudukan lebih baik sekaligus mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati.
Menurut pandangan Pan-gon, beliau sedar kualiti yang dimiliki oleh pasukan tuan rumah menyebabkan pasukannya dihukum kekalahan keempat di Asia.
“Saya amat kecewa dengan kekalahan ini terutamanya kepada penyokong Ulsan HD. Ini juga merupakan satu aksi yang amat sukar,” kata Pan-gon selepas perlawanan.
Ketiadaan dua pemain utama Ulsan HD akibat kecederaan diakui oleh Pan-gon menjejaskan rencananya untuk turun dengan barisan terbaik di tempat lawan.
“Pemain mengharungi aksi yang sangat sukar hari ini dan saya amat kecewa. Dua pemain yang tidak dapat beraksi (Lee Myeong-jae dan Ko Seung-beom) memberikan kesan kepada perancangan pasukan,” tambahnya.
Ulsan HD juga dilihat bergelut untuk mendapatkan rentak seawal minit pertama permainan selepas dibolosi seawal minit ke-8 menerusi Arif Aiman.
Ulsan HD tewas keempat-empat perlawanan awal di ACLE sekaligus menyukarkan peluang untuk mara ke pusingan berikutnya.
Shandong Taishan bakal menjadi lawan keempat JDT pada 26 November manakala Ulsan HD akan melayan kunjungan Shanghai Port.