Pemain tengah St. Louis City 2 (STL2), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal bersedia melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat (AS) agar dapat mewakili Harimau Malaya.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu sudah lama menyatakan keinginan membawa nama negara di pentas antarabangsa.
Malah, Wan Kuzain juga ada berhubung secara tidak langsung dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beberapa bulan lalu berkenaan isu tersebut.
Malangnya, isu dokumentasi kerakyatan sering menjadi penghalang buat bekas pemain Sporting Kansas City untuk menabur bakti bersama skuad negara.
Isu ini menghalang Wan Kuzain daripada menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) untuk kempen Sukan SEA pada 2019.
Apabila diminta mengulas isu ini, abang Wan Kuzain merangkap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal memaklumkan adiknya sudah bersedia untuk melepaskan status kerakyatan AS.
“Kali terakhir saya bercakap dengan bapa saya, saya diberitahu Kuzain bersedia untuk melepaskan kewarganegaraan Amerik Syarikat agar dapat berada dalam radar skuad kebangsaan.
“Bagaimanapun, cabarannya ketika ini ialah Kuzain perlu berada di Malaysia untuk memuktamadkan proses mendapatkan kewarganegaraan.
“Sebagai abangnya, saya mahu melihat dia memenuhi impiannya dan saya telah menasihati dia untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin supaya kita dapat mempercepat proses dokumentasinya,” katanya kepada portal Scoop.
Pada masa sama, Wan Ahmad Fayshal sedar adiknya dijangka berdepan kesukaran untuk pulang ke Malaysia ketika ini. Ini kerana MLS Next Pro musim 2024 sedang berjalan dan hanya akan berakhir pada 6 Oktober ini.
Ini bermakna Wan Kuzain terpaksa menunggu sehingga tamat musim liga bersama STL2 untuk memuktamadkan proses dokumentasi yang dinyatakan.
“Malangnya, ini akan menjadi sukar kerana dia masih lagi mengharungi musim (MLS Next Pro) di AS. Kita kena tunggu sehingga musim berakhir sebelum dia dapat kembali ke Malaysia. Sehingga itu, amat sukar buat dia dikesan oleh pasukan kebangsaan,” tambahnya.
Musim 2024 menyaksikan Kuzain telah merekodkan 14 penampilan dan tiga gol bersama STL2 berdasarkan data Transfermarkt.