Wan Rohaimi Bakal Kemudi Penang?
MakanBola
KL City FC

Bekas penyerang kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail semakin hampir menggalas peranan sebagai jurulatih baru Penang FC.

Sebelum ini, pengurusan Harimau Kumbang memutuskan untuk merehatkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Keputusan itu diambil kerana prestasi merudum pasukan itu dalam liga.

Susulan itu, Mat Saiful Mohamad menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih sambil dibantu pengarah teknikal pasukan, Merzagua Abderrazak.

Kini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Wan Rohaimi merupakan calon yang dipilih pengurusan Penang untuk mengemudi pasukan itu untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M).

“Difahamkan Penang FC telah bersetuju untuk melantik Wan Rohaimi Wan Ismail selaku Ketua Jurulatih Harimau Kumbang bagi harungi baki saingan Liga Malaysia 2024/25. Pengumuman rasmi dijangka menyusul,” katanya di X.

Wan Rohaimi bukan asing dengan pasukan Penang. Ini kerana beliau pernah beraksi untuk pasukan itu dari 2003 hingga 2004.

Jurulatih berusia 48 tahun itu juga pernah melatih skuad Piala Presiden Harimau Kumbang dari 2020 hingga 2021.

Wan Rohaimi ketika ini menggalas peranan sebagai penolong jurulatih kepada Miroslav Kuljanac selepas membimbing skuad Piala MFL KL City pada 2023. Selain The City Boys, beliau juga pernah melatih PDRM FC dan skuad Piala Belia Perlis.

Bekas penyerang Terengganu FC itu turut menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dari 2014 hingga 2018.