Advertisements
Penang Rehatkan Akmal Rizal, Cari Pengganti Berpengalaman
Liga Super
MakanBola
Penang FC

Status jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akhirnya terjawab apabila beliau sah direhatkan oleh pengurusan pasukan itu.

Perkara ini diumumkan pengurusan Sang Harimau Kumbang dalam satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.

Sebelum ini, Akmal dilihat tiada di bangku teknikal Penang dalam aksi menentang Sabah FC pada 25 Oktober lalu.

Penang memilih merehatkan beliau susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu dalam liga. Meskipun tidak lagi bersama skuad senior Harimau Kumbang, pengurusan Penang masih menagih khidmatnya untuk melatih pasukan lain kelab berkenaan.

“Susulan daripada mesyuarat lembaga pengarah tersebut, satu keputusan telah dibuat untuk menggantikan jurulatih utama pasukan Liga Super Penang FC dengan jurulatih yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan Liga Super Penang FC.

“Usaha dan dedikasi Coach Akmal Rizal adalah amat dihargai dan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama dengan Penang FC, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Penang mengesahkan Mat Saiful Mohamad dilantik sebagai pengendali interim dan dibantu pengarah teknikal, Merzagua Abderrazak.

Pengurusan kelab turut mengesahkan pasukan itu sedang mengadakan perbincangan beberapa orang jurulatih untuk mengisi peranan sebagai ketua jurulatih.

Perbincangan untuk memuktamadkan kontrak sudah diadakan sejak 21 Oktober lalu. Penang bakal mengumumkan ketua jurulatih baharu sejurus kontrak dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.

“Terdapat beberapa orang calon jurulatih utama yang telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pengarah dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak telahpun bermula sejak 21 Oktober 2024.

“Ketua jurulatih yang baharu akan diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi,” tambahnya.

Tugas pertama Mat Saiful ialah mengendalikan skuad Penang menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 1 November.

Harimau Kumbang tempang tanpa empat tonggak yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan atau penggantungan. Empat tonggak tersebut ialah Rafael Vitor, Khairu Azrin Khazali, Adib Raop dan Fairuz Zakaria.