Status terkini Akmal Rizal Ahmad Rakhli terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Penang FC.
Sebelum ini, pengurusan Penang dilaporkan telah merehatkan bekas penyerang kebangsaan itu sebagai ketua jurulatih Sang Harimau Kumbang.
Ini susulan pasukan itu menghadapi kemarau kemenangan dalam lima perlawanan. Ini termasuk dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Super di tangan KL City FC dan Sri Pahang FC.
Pengurusan Penang dilaporkan meletakkan tugas melatih pasukan itu dipangku pengarah teknikal pasukan dari Maghribi, Merzagua Abderrazak buat sementara waktu.
Kini, penolong jurulatih Penang, Mat Saiful Mohamad memaklumkan jurulatih berusia 42 tahun itu sedang bercuti.
“Apa yang saya difahamkan ialah Coach Akmal Rizal ambil cuti. Jadi, saya dan staf kejurulatihan dan juga pengarah teknikal kita (Merzagua Abderrazak) menyediakan pasukan untuk malam ini,” katanya dalam temu bual sebelum perlawanan.
Aksi terbaru liga menyaksikan Penang dibelasah Sabah FC 4-0 di Stadium Bandaraya. Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan mencipta nama sebagai penjaring gol jarak jauh.
Kekalahan ini menyebabkan Penang kini di tangga ke-11 liga dengan 11 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.
Selepas ini, Sang Harimau Kumbang bakal bertandang ke Gong Badak untuk menentang Terengganu FC pada 1 November ini.