Bekas penyerang Harimau Malaya, Wan Rohaimi Wan Ismail hampir pasti kekal mengemudi Penang FC untuk musim 2025/26.
Khabar tersebut dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Ini kerana pengurusan Sang Harimau Kumbang dilaporkan berpuas hati dengan prestasi pasukan di bawah kendalian beliau.
“Coach Wan Rohaimi sah kekal membimbing Penang buat semusim lagi. Sejak beliau datang untuk mengambil alih pasukan, corak permainan ada peningkatan,” katanya dalam Nadi Arena.
“Keputusan (pasukan) juga ada positifnya sejak Wan Rohaimi mengambil alih. Jadi, apa yang dimaklumkan kepada saya ialah pihak pengurusan berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan Wan Rohaimi.
“Dan beliau kekal membimbing pasukan Harimau Kumbang untuk tempoh semusim lagi.”
Selepas dibawa masuk menggantikan pengendali sebelumnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Wan Rohaimi membantu Penang meraih enam kemenangan, tiga keputusan seri dan lapan kekalahan dalam semua kejohanan.
Selain Wan Rohaimi, Penang juga dijangka mengekalkan khidmat dua tonggak import iaitu kapten, Rafael Vitor dan penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls.