Kehadiran penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Jepun telah mendapat perhatian oleh warga tempatan di sana.
JDT bakal turun beraksi dalam perlawanan AFC Champions League Elite (ACLE) berdepan Sanfrecce Hiroshima petang ini dengan kemenangan menjadi misi penting untuk kedua-dua pasukan.
Walaupun bakal beraksi di tempat lawan, para peminat setia JDT dilihat masih tetap mahu memberi sokongan meskipun perlu terbang berjam-jam lamanya ke negara Matahari Terbit itu.
Sebuah pesanan sempat dititipkan oleh salah seorang warga tempatan di sana kepada penyokong JDT setelah mengambil kira cuaca sejuk dan bersalji yang sedang melanda negara Jepun kini.
“Sekarang cuaca di Jepun sangat sejuk. Jika anda datang ke Jepun, sila pakai pakaian yang tebal dan panas,” pesan salah seorang warga Jepun yang dikenali sebagai cororist di laman X.
Pesanan itu lantas disambut baik oleh kumpulan penyokong JDT iaitu Boys of Straits (BOS) yang mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan beliau buat para peminat pasukan lawan.
Perlawanan Sanfrecce Hiroshima vs JDT akan berlangsung hari ini di Edion Peace Wing Hiroshima dengan sepak mula tepat jam 6 petang waktu Malaysia.