Kekecohan berlaku sewaktu sidang media tamat perlawanan antara Iraq dan Jordan apabila wartawan Iraq tidak berpuas hati dengan Jesus Casas atas kekalahan Iraq.
Dalam sebuah video di laman sosial X, wartawan daripada Iraq itu menjerit-jerit kemarahan dan cuba menerpa ke arah jurulatih Jesus Casas sebelum dibawa keluar oleh pihak keselamatan AFC.
Pihak AFC kemudian melakukan sebuah kenyataan rasmi yang menolak sebarang keganasan atau unsur tidak profesional membabitkan kejohanan besar tersebut. Malah wartawan Iraq itu juga telah disenarai hitam oleh AFC daripada terlibat dengan Piala Asia 2023 dan kejohanan AFC yang seterusnya.
“AFC amat kecewa dengan tindakan yang berlaku semasa sidang media selepas perlawanan antara Iraq dan Jordan dan telah mengambil keputusan pantas untuk menghalang individu yang bertanggungjawab daripada membuat liputan bukan sahaja Piala Asia AFC Qatar 2023 tetapi juga untuk kejohanan AFC akan datang.”
“Akreditasi ialah keistimewaan yang disertakan dengan tanggungjawab untuk mematuhi piawaian etika, dan mereka yang melanggar piawaian ini akan menghadapi akibatnya.”
“Apabila berhadapan dengan tingkah laku yang menimbulkan risiko kepada keselamatan orang di acara kami, AFC akan bertindak pantas untuk melindungi pihak penting kami serta reputasi kejohanan kami. Kami yakin bahawa respon kami ini akan berfungsi sebagai peringatan bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima.”
“Secara berasingan, walaupun AFC tidak mengulas mengenai persembahan pengadil individu, kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk ancaman, gangguan atau pendedahan maklumat peribadi yang menyasarkan pengadil, pemain, pegawai dan semua pihak berkepentingan kami. Tingkah laku sebegitu bertentangan dengan semangat permainan adil dan hormat yang kami promosikan dalam komuniti bola sepak Asia.” umum AFC.
Jordan bangkit menewaskan Iraq pada minit akhir perlawanan tersebut setelah Iraq terpaksa bermain dengan 10 pemain berbaki 10 minit permainan ekoran Aymen Hussein dilayangkan kad merah.
Keraian gol melampau Aymen Hussein menyebabkan pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kedua sekali gus membuatkan beliau meraih kad merah dalam aksi tersebut.