Bekas penyerang Selangor FC, Willian Lira memilih kembali ke Brazil selepas meninggalkan pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Ini selepas Retro FC Brasil mengumumkan perpindahan penyerang berusia 32 tahun itu di platform rasmi mereka.
“Penyerang Willian Lira adalah satu lagi rekrut baharu Phoenix untuk musim 2026. Selamat datang Willian Lira. Semoga mendapat musim yang berjaya dengan Azulao,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Lira berharap dapat kembali cemerlang di kampung halaman selepas tampil hambar bersama Selangor musim ini.
Beliau hanya menyumbat dua gol dalam 16 penampilan bersama Merah Kuning. Dua gol itu direkodkan dalam saingan Piala FA dan Shopee Cup.
Selain Lira, Kevin Deeromram dan Zach Clough turut mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor. Kevin menjadi sebahagian daripada tiga rekrut baharu Ratchaburi.
Selain beliau, The Dragons turut merekrut Jaroensak Wonggorn dan pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting secara pinjaman.