Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira sudah memiliki destinasi baru selepas meninggalkan kelab Thai League 1, Chonburi FC.
Sebelum ini, Lira menjadi sebahagian daripada empat bekas penyerang Liga Super yang belum mendapat pasukan baru selepas bergelar ejen bebas pada 1 Julai lalu.
Selain penyerang berusia 30 tahun itu, turut tersenarai ialah Herlison Caion, Abu Kamara dan penjaring terbanyak Liga Super musim 2023, Ayron Del Valle.
Kini, bekas penyerang Ventforet Kofu itu memilih berhijrah ke rantau Timur Tengah dengan menerima tawaran kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hatta Club.
Perpindahan Lira ke kelab berkenaan berlaku pada 28 Julai lalu berdasarkan maklumat Transfermarkt. Walau bagaimanapun, tempoh kontraknya bersama Hatta Club tidak didedahkan.
“Selamat datang kepada penyerang baru pasukan utama, Willian Lira! Kami amat gembira mengalu-alukan anda menyertai Hatta Club,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Lira menjadi pemain keenam yang menyertai kelab UAE berkenaan selepas Patrick, Mehdi Boussaid, Marcelo Freitas, Sultan Abu Daken dan Muhammad al-Marbuii.
Bisa bekas penyerang Sang Kenari itu bakal ditagih untuk memacu kempen Hatta Club yang lebih cemerlang untuk kempen musim 2024/25.
Meskipun hanya bersama Kedah selama enam bulan pada 2023, Lira telah menyumbat lapan gol dalam 15 penampilan bersama pasukan utara tanah air itu.