Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz enggan mengulas keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada Natxo Insa.
Kapten JDT itu dibuang padang pada separuh masa kedua aksi pasukan itu menentang Kuching City FC pada 14 Januari lalu.
Ini selepas VAR mengesan tindakan Insa menanduk muka Scott Woods. Selepas melihat insiden tersebut di monitor, pengadil Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada beliau.
Munoz melihat tiada apa yang perlu diulas beliau berhubung insiden tersebut.
“Saya boleh beritahu tiada apa yang istimewa tentang perkara itu. Saya tak nak ulas dari kedudukan saya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Pada masa sama, bekas jurulatih Watford itu berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pemain termasuk Insa agar bijak mengawal emosi di atas padang.
“(Emosi) antara perkara yang patut dikawal selepas apa yang beliau (Insa) lihat selama 10 tahun di Malaysia.
“Tiada apa yang istimewa dan kita patut pandang ke depan. Kita perlu fikir perlawanan seterusnya dan beradaptasi (dengan strategi pihak lawan),” ujarnya.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, JDT mengekalkan rekod kemenangan 100% dengan menewaskan Kuching City 2-1.
Selepas ketinggalan menerusi gol Woods, JDT bangkit meraih kemenangan menerusi gol Nacho Mendez dan Bergson da Silva.