Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son melaungkan amaran kepada skuad Harimau Malaya.
Ini kerana penyerang berusia 28 tahun itu dilihat makin berbisa di depan gol bersama kelabnya, Thep Xanh Nam Dinh.
Terbaru, Xuan Son menyumbat dua gol dalam aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup antara kelab itu dan Lion City Sailors (LCS).
Selepas mendahului 1-0 pada babak pertama, bekas penyerang Vegalta Sendai itu menambah dua lagi gol buat Nam Dinh.
Kemenangan 3-0 itu bukan saja membantu kelab Vietnam itu memintas semula Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pendahulu kumpulan. Malah, Nam Dinh menjadi pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir.
Dua gol Xuan Son turut menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Shopee Cup dengan tujuh gol setakat ini.
Beliau di hadapan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva dan penyerang Tampines Rovers, Hide Higashikawa. Kedua-dua penyerang itu berkongsi tempat kedua dengan lima gol.
Prestasi baik Xuan Son di hadapan gol dilihat tonik terbaik buat anak buah Kim Sang-sik menjelang aksi menentang Harimau Malaya pada 31 Mac ini.
Lebih menarik, aksi itu dijangka berlangsung di stadium keramat Nam Dinh, Stadium Thien Truong. Ini bakal memberi kelebihan kepada Xuan Son bila beraksi dalam aksi itu nanti.