Nama bekas bek tengah Selangor FC, Yazan Al-Arab kini menjadi sebutan dalam arena bola sepak Korea Selatan.
Ini selepas Korea Football News mendedahkan FC Seoul dilaporkan mahu mendapatkan bek tengah Jordan berusia 28 tahun itu.
Seoul yang dibimbing jurulatih, Kim Gi-dong dikatakan berminat mendapatkan Yazan bagi menambah baik barisan pertahanan mereka yang kerap dibolosi pihak lawan.
Berdasarkan statistik K-League 1 ketika ini, Seoul telah melepaskan 22 gol daripada 16 perlawanan liga setakat ini.
Statistik ini tidak dibantu dengan rekod pasukan itu dalam K-League 1 ketika ini. Seoul hanya mengutip empat kemenangan, lima seri dan tujuh kekalahan untuk musim 2024.
Sejak menyertai kelab Qatar, Muaither dari kelab Iraq, Al-Shorta pada penghujung Januari lalu, Yazan telah membuat lapan penampilan untuk pasukan itu.
Bekas peman pertahanan Merah Kuning itu turut membantu Jordan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selaku juara Kumpulan G.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan negara serantau, Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan. Kejayaan ini turut membolehkan Jordan layak secara merit ke Piala Asia 2027.
Walau bagaimanapun, berita ini merupakan berita buruk buat enam pemain import Seoul ketika ini. Ini kerana sekiranya kelab itu mahu mendapatkan Yazan, mereka perlu melepaskan salah seorang daripada enam pemain yang didaftarkan.
Ini kerana K-League 1 hanya menetapkan kuota enam pemain import bagi setiap pasukan. Daripada enam slot tersebut, satu slot diperuntukkan untuk pemain dari negara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Seoul menggunakan khidmat Jesse Lingard, Rebin Sulaka, Stanislav Iljutcenko, Aleksandar Palosevic, Takuya Shigehiro dan Willyan sebagai tenaga import.
Seandainya perpindahan ini menjadi kenyataan, Yazan berpeluang mencipta sejarah sebagai pemain Jordan pertama beraksi dalam saingan K-League 1.