Perancang tengah Selangor FC, Yohandry Orozco memberi bayangan tidak lagi bersama pasukan Gergasi Merah itu.
Skuad Gergasi Merah itu berjaya menamatkan saingan Liga Super musim ini selaku naib juara buat kali kedua berturut-turut dengan mengumpul 52 mata selepas 24 perlawanan.
Setelah musim berakhir, beberapa tonggak Selangor dilihat mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan seperti Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee serta kapten, Safuwan Baharudin.
Terbaharu, pemain tengah, Yohandry Orozco menerusi satu hantaran seakan memberi bayangan tidak lagi bersama Selangor pada musim hadapan dengan ucapan terima kasih buat pasukan.
”Terima kasih untuk segalanya Selangor FC dan selamat maju jaya buat pasukan,” tulis Yohandry Orozco di laman Instagram.
Malah, Orozco turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih buat para penyokong setia Selangor selama ini sehingga begitu banyak momen manis dapat dilakar ketika berada di Malaysia.
”Terima kasih kepada para peminat di atas sokongan! Terima kasih Malaysia. Banyak kenangan indah dan tidak terlupakan yang saya lalui di negara yang cantik ini.” tambah pemain itu lagi.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan beberapa rakan sepasukan Orozco di Selangor seperti Noor Al Rawabdeh, Fazly Mazlan dan Mukhairi Ajmal turut serta meninggalkan ucapan perpisahan.
Sehingga kini, masih belum ada makluman rasmi dari pihak Selangor FC mengenai masa hadapan Yohadry Orozco ini.