Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menghormati pandangan bekas pemain negara, Datuk Santokh Singh.
Sebelum ini, Datuk Santokh Singh melontarkan kritikan keras terhadap usaha FAM untuk memperkasa skuad kebangsaan dengan membawa masuk pemain-pemain warisan dari luar negara.
“Apa yang saya mahu katakan, FAM kini Persatuan Bolasepak Mat Salleh,” luah Santokh Singh menurut Stadium Astro.
“Kenapa kalian memanggil mereka pemain warisan? Mereka berada di luar negara dan tak dapat bermain, mereka datang ke sini menjadi pemain warisan.”
Lantaran itu, Yusoff Mahadi selaku Timbalan Presiden FAM tetap menghormati Santokh Singh sebagai lagenda negara selain melihat kritikan tersebut sebagai bentuk pandangan peribadi beliau.
”Saya hormat Santokh Singh sebagai lagenda negara dan sudah tentu beliau memiliki pandangan tersendiri sebagai orang lama,” kata Yusof Mahadi.
”Pada saya, kenangan lama masih bersamanya jadi beliau berkata atas faktor masa dahulu,” ujarnya ketika ditemui di CARSOME Automall pada Khamis.
Sungguhpun begitu, beliau menjelaskan bahawa pada era bola sepak moden ini, skuad negara perlu bergerak seiring dengan perubahan supaya Harimau Malaya dapat bersaing bersama negara lain.
”Tetapi masa sekarang ini, bola sepak sudah berubah, kalau kita tidak ikut perubahan ini, saya fikir kita bukan makin maju tapi kita makin mundur,” jelas beliau.
”Inilah revolusi bola sepak, jika kita mahu kekal bersaing kita perlu lakukan dan mengikuti perubahan.”
Bola sepak moden ketika ini menyaksikan lambakan pemain-pemain warisan yang beraksi di luar negara diberi perhatian untuk mewakili negara asal mereka sama ada susur galur dari sebelah ibu atau bapa.
Malaysia turut tidak ketinggalan dalam langkah segera ini apabila beberapa nama sudah dikaitkan dengan pasukan kebangsaan, termasuk Rodrigo Hogaldo yang dilaporkan antara calon untuk memperkuat pasukan negara.