Jentera serangan Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Argentina, Rodrigo Holgado.
Sebelum ini, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memaklumkan akan ada pemain baharu yang berpangkalan di luar yang bakal menyertai Harimau Malaya.
“Saya fikir akan ada pengumuman yang akan dibuat sekitar awal Jun apabila semua proses dokumentasi dimuktamadkan dengan pihak kerajaan. Tapi ia cukup menyakinkan,” katanya.
Kini, wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra melaporkan Holgado telah menerima panggilan kem Harimau Malaya. Proses dokumentasi pemain tersebut sedang diusahakan.
Sierra turut menyatakan kelab Holgado, America de Cali sudah diberitahu tentang panggilan berkenaan.
“Skuad kebangsaan Malaysia memiliki Rodrigo Holgado dalam kalangan pemain pasukan itu. Maklumat berkenaan pasport beliau masih belum selesai tetapi mereka menyelesaikan perkara itu dari Asia.
“America de Cali sudah diberitahu tentang perkara itu dan menunggu maklumat selanjutnya. (Holgado) bakal menempuh perjalanan yang panjang jika semua perkara disahkan,” katanya di X.
Selain America de Cali, Holgado pernah beraksi untuk Audax Italiano, Almagro, San Lorenzo, Gimnasia La Plata, Coquimbo Unido dan Tiburones Rojos.
Sekiranya semua proses berjalan lancar, penyerang berusia 29 tahun itu dijangka merancakkan persaingan untuk merebut posisi peledak utama Harimau Malaya.
Kem kali ini menyaksikan Fergus Tierney, Paulo Josue dan Romel Morales dipanggil untuk mengisi slot berkenaan.