Hasrat pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng untuk mewakili Singapura di peringkat antarabangsa akhirnya tercapai.
Hal ini menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan pemain pertahanan berusia 30 tahun itu sah bergelar warga Singapura.
“Perry Ng secara rasmi ialah warga Singapura. Babak baru bermula dengan warna merah dan putih kini menjadi miliknya untuk diwakili (di peringkat antarabangsa).
“Selamat pulang, Perry. Kami bangga mempunyai anda sebagai sebahagian daripada kami,” kata FAS dalam satu kenyataan.
Ng kemudiannya berkongsi berita sama di Instagram. Beliau mengakui ini satu detik bermakna buat dirinya.
“Saya bangga untuk berkongsikan bahawa saya kini warga Singapura. Singapura sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah keluarga saya, dan selama bertahun-tahun, ia telah menjadi rumah saya juga.
“Saya berterima kasih kepada semua orang yang telah menyokong saya dalam perjalanan ini,” katanya.
Berita ini menyaksikan Ng berpeluang mewakili Singapura untuk kejohanan persahabatan antarabangsa membabitkan negara itu, Jepun, Brazil dan Paraguay pada November ini.
Memulakan karier bersama Crewe Alexandra, Ng kemudiannya menyertai Cardiff dan menjadi tonggak utama pasukan di bahagian pertahanan. Musim ini menyaksikan beliau merekodkan 10 penampilan termasuk lapan penampilan Liga Kejohanan.
Berita ini juga menjadikan Ng menjadi pemain ASEAN terbaru mewarnai saingan liga itu selain Elkan Baggott. Baggott yang beraksi untuk skuad Indonesia kini mewakili Milwall.