Advertisements
Yusri Che Lah Anggap Faktor Fizikal Paksa Perak Akur Kepada Sabah
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Pengendali Perak, Yusri Che Lah melihat faktor fizikal dari aspek ketinggian memberi kelebihan buat pasukan Sabah ketika aksi Liga Super pada Sabtu.

Pada aksi tersebut, Perak terpaksa akur dengan dua jaringan lewat dari Sabah memaksa The Bos Gaurus berputih mata pada perlawanan yang dijalankan di Stadium Manjung itu.

Menurut Yusri, tiga jaringan yang dibolosi semalam berpunca dari situasi bola mati yang dimanfaatkan lawan meskipun mereka telah melakukan perancangan awal untuk menyekat.

“Tiga daripada empat (jaringan Sabah) berpunca dari situasi bola mati (meskipun) sebenarnya kita telah membuat banyak kerja rumah,” kata Yusri kepada TBG TV.

“Kita tahu ketinggian pemain Sabah sebelum perlawanan dan kita telah mengenalpasti pemain-pemain mana yang perlu dikawal,” tambahnya lagi.

Yusri melihat pemainnya seperti takut serta tertekan ketika Sabah memperoleh sepakan penjuru atau lontaran dan sedar kelebihan fizikal sememangnya memihak lawan yang miliki 4 pemain yang tinggi.

“Sekali lagi pemain mungkin berasa takut barangkali kerana saya lihat setiap kali Sabah mendapat sepakan penjuru atau lontaran, kita seperti tertekan dan kita membiarkan dua gol (di babak pertama).”

“Kami merancang untuk elakkan memberi Sabah situasi bola mati dan kita tahu permainan 90 minit mana mungkin kita dapat elak perkara tersebut,” ujar Yusri pada sidang media.

“Jadi kita tahu ketinggian pemain seperti Gabriel Peres, Joao Pedro, Daniel Ting dan Telmo Castanheira yang begitu tinggi, kita terpaksa membuat pilihan bagi mengawal pemain ini.”

Aksi Liga Super minggu hadapan menyaksikan Perak bakal melayani kunjungan Terengganu sementara itu Sabah akan bertemu satu lagi pasukan utara, Penang di laman lawan.