Kemenangan besar 8-0 yang diraih Perak FC ketika melayan kunjungan Kelantan FC dalam aksi Liga Super semalam nyata memberikan kelegaan kepada pengendali Perak, Yusri Che Lah.
Selepas kekalahan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu, kemenangan ke atas Kelantan ini dianggap sebagai satu momen keyakinan buat barisan pemain Perak.
“Walaupun kita ketinggalan tiga jaringan kepada pasukan Johor, tetapi malam ini (kemenangan ke atas Kelantan) memberikan sedikit keyakinan kepada para pemain. Seandainya mereka mengikut pelan asal pasukan, kita akan memperolehi kejayaan,” jelas Yusri Che Lah dalam sidang media selepas perlawanan.
Pada pendapat Yusri, kemenangan besar yang diraih ini adalah disebabkan barisan pemain Kelantan memberi begitu banyak ruang buat pemain Perak selain pemain Kelantan seperti tiada keinginan untuk beraksi.
“Bagi saya mungkin disebabkan pasukan lawan (Kelantan FC) yang memberikan ruang yang besar dan mungkin mereka juga tidak ada keinginan untuk beraksi tetapi dari kaca mata saya, para pemain telah mengikuti apa yang kita nak,” luah Yusri seperti yang disiarkan di TBG TV.
Dengan kemenangan tersebut, Perak kini naik ke tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 22 mata. Kedudukan itu masih belum selamat apabila hanya dibezakan satu mata dengan Negeri Sembilan FC di tangga ke-10 dan dibezakan dua mata dengan Penang FC yang berada di tangga ke-11.
Perak akan meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini dengan aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang JDT pada 2 November depan di Stadium Sultan Ibrahim yang mana mereka kini sedang ketinggalan 1-4 secara agregat.