Advertising
Perak Meterai Kerjasama Dengan Borneo FC
MakanBola
Perak FC

Perak FC menjadi pasukan Liga Super terbaru yang menjalin kerjasama dengan kelab luar negara.

Kerjasama ini dijalin dengan kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC. Kerjasama ini diumumkan kedua-dua pasukan menerusi laman media sosial rasmi masing-masing.

Kerjasama ini dimeterai menerusi satu majlis ringkas yang diadakan hari ini. Borneo diwakili oleh presiden pasukan, Nabil Husein Said Amin dan CEO, Ponaryo Astaman.

Ad

Manakala Perak pula diwakili oleh pengarah urusan pasukan, Roy Ho dan CEO pasukan, Bobie Farid Shamsuddin.

Ad

Menerusi kerjasama ini, The Bos Gaurus dan Pesut Etam bukan saja akan meneroka perkongsian dari segi komersial termasuk penajaan.

Malah, kedua-dua pasukan juga dijangka bertukar kepakaran dan maklumat dari segi aspek pembangunan pemain-pemain muda.

Ad

Selain itu, perjanjian ini turut menyaksikan kedua-dua pasukan diberi keutamaan dari segi perpindahan pemain baik sama ada perpindahan tetap mahupun pinjaman.

Bagi Nabil Husein, kerjasama ini bersifat menang-menang kepada kedua-dua pasukan dan mampu memberi manfaat kepada lanskap bola sepak kedua-dua negara.

“Kami percaya kerjasama dengan Perak FC bakal membawa perubahan kepada bola sepak di Malaysia dan Indonesia.

“Ini akan membawa kerjasama kedua-dua pasukan yang berkongsi minat terhadap sukan dan komitmen dalam membangunkan pemain muda. Kami tidak sabar untuk menempuh pengembaraan ini bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Nabil Husein itu turut dipersetujui Roy yang melihat Borneo sebagai inspirasi kepada Perak untuk bangkit dan kembali menjadi kuasa bola sepak negara.

“Kerjasama ini melambangkan semangat perpaduan dan perkongsian matlamat yang sama.

“Kami merasa rendah diri dan melihat ini satu penghormatan apabila Borneo FC Samarinda berminat menjalinkan kerjasama dengan kami.

“Borneo FC Samarinda sedang mendahului Liga 1 dan kami harap satu hari nanti, kami dapat mengulangi kejayaan mereka.

“Kami yakin kerjasama ini akan membawa kepada pencapaian hebat di atas mahupun di luar padang dan kami tidak sabar ntuk mencipta memori indah buat para penyokong kami,” ujarnya.

View this post on Instagram

A post shared by Perak Football Club (@perakfcofficial_)

Sebagai tanda pemeteraian kerjasama ini, perlawanan persahabatan pertama antara Perak dan Borneo bakal diadakan di Stadium Segiri, Samarinda pada 18 November ini.

Sementara perlawanan persahabatan kedua antara kedua-dua pasukan itu bakal diadakan pada tahun hadapan.