Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah akur dengan kehebatan Selangor apabila pasukannya tunduk kali ke-3 musim ini.
Perak bertandang dengan harapan besar ke Stadium MBPJ namun tidak berjaya menterjemahkan deretan peluang untuk mencipta kemenangan.
Beliau bagaimanapun memuji impak yang dipamerkan oleh anak buahnya untuk mengekang asakan bertali-arus tuan rumah terutamanya pada babak pertama.
“Pemain harus berasa memandang semula prestasi pasukan. Kami melepaskan dua jaringan daripada sepakan percuma. Kami cuba untuk menekan pada 10 minit terakhir.
“Kita cuba untuk mendominasi perlawanan dan mengawal posisi tetapi ada beberapa momen yang tidak menjadi. Cuaca tidak menjadi halangan dan saya bersetuju babak pertama kami banyak memberi ruang kepada Selangor.
“Pemain hilang fokus dan dihukum dengan bola mati oleh Selangor. Keputusan seri adalah lebih baik tetapi Allah lebih mengetahui perjalanan pasukan Perak,” jelasnya selepas perlawanan di MBPJ.
“Saya akan sentiasa bersama dengan pemain dan memahami situasi dengan tidak mudah untuk beraksi menentang Selangor. Kami mendominasi pada babak kedua walaupun tewas kepada Selangor,” jelasnya.
Yusri juga berharap agar para pemain tidak hilang fokus terutamanya menentang pasukan besar seperti Selangor kerana sudah pasti akan dihukum.
“Satu gol yang terhasil harus dibanggakan oleh para pemain walaupun kami tewas kerana mendominasi babak kedua.
“Kami tidak harus berasa malu kerana babak kedua berada dalam tangan kami sebenarnya.”
Beliau juga memuji aksi pemain seperti Azfar Fikri, Sunday Afolabi dan lain-lain pemain terutamanya 6 pemain import yang beraksi bersama buat kali pertama.
Perak akan berehat panjang sebelum menyambung aksi Liga Super menentang Penang pada 13 Julai manakala Selangor akan berdepan Kuching City bagi aksi suku akhir Piala FA 2024.