Legenda bola sepak Malaysia, Datuk Zainal Abidin Hassan ingin melihat negara itu layak ke saingan Piala Dunia.
Hasrat itu dinyatakan beliau apabila mengulas tentang prestasi semasa skuad kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih Australia, Peter Cklamovski.
Zainal percaya sekiranya skuad negara meneruskan prestasi mantap yang dipamerkan dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2027, tidak mustahil impian ke Piala Dunia boleh dicapai.
Pengarah Teknikal Imigresen FC itu turut memaklumkan beliau tidak akan bersara sehinggalah Malaysia layak ke Piala Dunia.
“Saya takkan bersara selagi Malaysia tak masuk Piala Dunia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata selepas dua perlawanan. Skuad negara juga masih belum dibolosi dan memiliki rekod kemenangan 100% setakat ini.
Sebagai persiapan untuk kalendar antarabangsa seterusnya, Harimau Malaya dikhabarkan bakal menyertai CAFA Nations Cup 2025 bersama Oman.