Bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha setuju dengan pendekatan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang membawa masuk semula bekas-bekas pemain ke dalam pasukan itu.
Bagi Zaquan, nama seperti Ahmad Fauzi Saari tidak lagi perlu diperkenalkan lagi kerana rata-rata pemain mengenali Fauzi sebagai salah seorang legenda skuad Sang Kenari.
Kehadiran Fauzi sebagai Penyelaras Pasukan akan menjadi faktor kebangkitan semangat para pemain Kedah di bilik persalinan.
“Saya sangat-sangat setuju dengan pendekatan yang diambil oleh pasukan Kedah apabila membawa balik bekas-bekas pemain. Dalam bilik persalinan adalah penting.
“Kalau tiada individu-individu yang boleh membangkitkan semangat atau suasana yang baik, mungkin sukar untuk sesebuah pasukan beraksi dengan baik.
“Pemain-pemain (Kedah) yang ada pun kenal siapa itu Fauzi Saari. Jadi saya rasa perlu ada sentimen-sentimen pembangkit semangat dalam bilik persalinan,” jelas Zaquan Adha kepada Astro Arena.
Selain Fauzi, Kedah juga membawa masuk seorang lagi legenda kelab iaitu Nelson Sam Martin yang kini bertindak sebagai Pengarah Teknikal.
Selepas meraih tiga mata berharga menentang PDRM FC pada aksi pertama liga, Kedah bakal bertemu Selangor FC pada aksi kedua Liga Super di Stadium MBPJ malam ini.