Pemain pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili mendapat kepercayaan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski buat kali pertama.
Ini kerana ini panggilan pertama buat bek kiri berusia 22 tahun itu bersama skuad kebangsaan. Sebelum ini, beliau merupakan tonggak buat skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).
Prestasi konsisten Zikri di bahagian pertahanan bukan saja membantu Selangor meraih MFL Challenge Cup.
Malah, beliau turut membantu Merah Kuning muncul naib juara Liga Super dan Piala FA. Zikri turut diberi kepercayaan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini dibuktikan dengan 33 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama Selangor dalam semua kejohanan.
Panggilan Zikri bukan saja dilihat sebahagian daripada usaha Cklamovski menambah lebih ramai pemain muda dalam skuad Harimau Malaya.
Malah, ini juga peluang buat pengendali baharu Malaysia B-23, Nafuzi Zain mengenali pemain yang bakal menjadi tunjang utama pasukannya. Nafuzi menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk skuad kali ini.
Selain Zikri, antara pemain B-23 lain yang tersenarai ialah Harith Haiqal Adam Afkar, Nooa Laine, Safwan Mazlan dan Haqimi Azim Rosli. Penjaga gol muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Christian Abad juga dijangka berada dalam radar Nafuzi.
Pemain-pemain ini bakal menjadi fokus beliau terutama untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025.
Zikri berpeluang meraih penampilan pertama jika diturunkan dalam aksi menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Selain beliau, dua bintang warisan baharu Harimau Malaya, Hector Hevel dan Gabriel Palmero juga berpotensi meraih penampilan pertama mereka.