Berita baik buat kontinjen badminton negara apabila tiga beregu utama negara sudah mengesahkan tempat di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut infografik yang dimuatnaik oleh ShuttleHard, Malaysia sudah mempunyai wakil bagi acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran berdasarkan kiraan mata kelayakan ke Sukan Olimpik, Race To Paris.
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menjadi wakil tunggal negara dalam acara ini selepas pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur tidak berjaya mengejar mata untuk melayakkan diri.
Bagi acara beregu wanita, gandingan Pearly Tan dan M. Thinaah yang kini berada di tangga ke-13 Race To Paris bakal membawa cabaran negara setelah dijangka kekal berada dalam kelompok 16 terbaik menjelang tarikh akhir kelayakan pada 28 April hadapan.
Manakala bagi beregu campuran, naib juara Thailand Masters 2024, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sah akan layak setelah berada di kedudukan kesembilan kini dan tidak dapat dipintas beregu campuran kedua negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini dalam kedudukan terbaik bagi melayakkan diri ke temasya sukan berprestij itu setelah menghuni tempat kesepuluh dan dijangka akan menempah tiket ke Paris tidak lama lagi.
Jalan sukar buat seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong untuk melayakkan diri akibat kesuntukan masa bagi mengejar mata di samping dibelenggu masalah kecederaan.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan membuka tirai pada 26 Julai 2024 dengan sukan badminton menjadi sukan yang cemerlang menyumbang pingat buat kontinjen negara sejak beberapa edisi yang lalu.