3 perlawanan derbi yang menarik bakal menghiasi aksi minggu ketiga Liga Super 2024/2025.
Pertemuan ini pastinya menghangatkan lagi kemeriahan Liga Super yang telah memasuki minggu ketiga dan kesemua pasukan kini mahu mengutip 3 mata berharga untuk terus bersaing dalam saingan liga.
Derbi Pantai Timur (Terengganu vs Kelantan Darul Naim)
Derbi pantai timur bakal mempertemukan pasukan Terengganu dan Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Mei ini.
Lokasi kedua-dua kelab yang berpangkalan di pantai timur telah menjelmakan nama derbi pantai timur lebih-lebih lagi negeri Kelantan bersebelahan dengan negeri Terengganu.
Dalam aksi pra musim sebelum ini, Terengganu dan Kelantan Darul Naim terikat tanpa jaringan dan berdasarkan dua perlawanan musim lalu, Terengganu berjaya meraih dua kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim dengan jaringan 4-1 dan 2-1.
Derbi Utara (Kedah vs Perak)
Pertemuan dua buah kelab di utara ini amat penting dalam saingan minggu ketiga setelah kedua-duanya tewas dalam aksi minggu kedua Liga Super.
Perak tewas tipis kepada PDRM dengan jaringan 3-2 manakala Kedah pula dikalahkan Selangor dengan jaringan 1-0. Dua aksi pada musim lalu berpihak kepada Kedah dengan kemenangan 3-0 dan 4-1 ke atas Perak.
Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman ini pastinya mahu dijadikan sebagai titik kebangkitan buat Kedah mahupun Perak dalam meraih tiga mata berharga.
Derbi Borneo (Sabah vs Kuching City)
Sabah dan Kuching City merupakan dua buah pasukan terletak di bahagian timur Malaysia. Sabah ketika ini telah meraih 4 mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam dua perlawanan lalu.
Kuching City pula mencatatkan dua keputusan seri bertemu KL City dan Sri Pahang dalam dua aksi awal Liga Super.
Menurut rekod, Kuching City memberikan saingan hebat disebalik dua kemenangan liga musim lalu yang berpihak kepada Sabah dengan keputusan jaringan 4-3 dan 2-1.
Pertemuan dua jurulatih berpengalaman antara Datuk Ong Kim Swee dan Aidil Sharin juga menjadi perhatian ramai berdasarkan rekod cemerlang dua jurulatih tersebut dalam saingan liga Malaysia.