Skuad futsal Selangor FC meneruskan persiapan pramusim dengan mengatur aksi persahabatan dengan tiga kelab hebat ASEAN.
Tiga kelab itu ialah Black Steel FC (Indonesia), Cosmo JNE (Indonesia) dan Thai Son Bac (Vietnam). Pengumuman tiga aksi persahabatan itu dibuat Selangor menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tiga aksi berkenaan bakal diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam dari 2 hingga 5 April ini.
Perlawanan-perlawanan ini dilihat medan terbaik buat Edgar Baldasso menguji keserasian anak buahnya sebelum Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2026 bermula.
Menariknya, Selangor bukan satu-satunya kelab Malaysia yang menjadi pilihan aksi pemanas badan untuk Cosmo JNE dan Thai Son Bac.
Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut mengumumkan dua aksi persahabatan dengan dua kelab sama. Thai Son Bac akan menentang JDT pada 31 Mac.
Ini disusuli perlawanan antara Cosmo JNE dan Harimau Selatan pada 7 April ini.