Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peluang buat tiga orang pemain untuk merekodkan penampilan pertama di peringkat antarabangsa.
Tiga pemain tersebut ialah Alif Ahmad, Rodney Celvin Akwensivie dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal. Ketiga-tiga pemain merekodkan penampilan pertama mereka dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Myanmar.
Alif dan Rodney diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Alif mengisi slot bek kanan dengan Rodney bergandingan dengan bek tengah Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili.
Penantian tujuh tahun Kuzain untuk menyarung jersi negara akhirnya tamat apabila dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-72.
Pemain tengah Sporting JAX itu masuk menggantikan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh. Prestasi Alif dan Rodney dilihat memberangsangkan kerana kedua-dua pemain mendapat markah 6.9 daripada Sofascore.
Malaysia membuka kempen kejohanan dengan menewaskan Myanmar 2-1. Selepas ketinggalan pada separuh masa pertama, anak buah Cheng Hoe bangkit menyumbat dua gol menerusi kapten, Paulo Josue.
Perlawanan ini juga dianggap istimewa buat tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu. Ini kerana beliau memikul tanggungjawab sebagai kapten Harimau Malaya buat kali pertama.
Selain meraih tiga mata dalam aksi pertama, Malaysia turut mendapat mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebanyak 2.13.